So kasik hadiah sikit untuk penduduk negeri Pahang. Dan bro izantie nanti ada masa kita sambung cite hang yg rahasia tu.
Fokus mitos: Sumpahan Sang Kelembai
Sang Kelembai merupakan makhluk ghaib yang menghuni hutan tertentu di beberapa tempat di negara ini. Sesetengah tempat dipanggil Sang Gedembai.
Sang Kelembai dipercayai mempunyai kuasa sakti yang boleh menyumpah sesiapa sahaja menjadi batu. Sang Kelembai biasanya berada di dalam hutan dan pantang kepada bunyi bising ketika berada di dalam hutan. Jika Sang Kelembai tertarik dengan bunyi tersebut, Sang Kelembai akan menegur. Manusia atau binatang yang ditegur akan menjadi batu.
Ada yang mengatakan sang kelembai ini memiliki badan yang besar dan tinggi sehingga dipercayai mampu sampai ke Terengganu dari Kuala Tahan dengan hanya beberapa langkah. Tidak kurang juga yang mengatakan Sang Kelembai ini mampu terbang dan hanya memakan pucuk-pucuk buluh sahaja.
Di Jerantut misalnya, terdapat pelbagai cerita dari daerah yang berkaitan dengan Sang kelembai ini seperti kawasan tempat persinggahannya dan juga kesan-kesan sumpahannya yang dianggap sekadar mitos untuk mengaitkannya dengan sejarah sesuatu setempat.
Menurut seorang penduduk dan peminat sejarah lama Azmi Baharuddin, Sang Kelembai ini dikatakan berasal dari sebuah gunung dan tinggal dalam hutan yang terletak di Kuala Tahan serta turut mempunyai keluarga di sana,
“Namun tidak pernah diketahui siapa isterinya dan berasal dari mana kerana hanya kisah Sang Kelembai dan anaknya sahaja yang sering diceritakan," katanya.
Ceritanya, Sang Kelembai mempunyai seorang anak lelaki, namun anaknya telah meninggal dunia akibat mabuk selepas memakan buah perah.
“Kerana terlalu sedih dan marah dengan kematian anak lelaki kesayangannya, maka Sang Kelembai dikatakan mengamuk sebelum mencabut semua pokok buah perah di hutan Tembeling dan kononnya sebab itulah pokok perah tidak banyak terdapat di hutan berkenaan," ujarnya.
Azmi berkata, Kota Gelanggi merupakan salah satu tempat yang banyak mengisahkan tentang Sang Kelembai ini suatu ketika dulu dan turut berkait serta menjadi pengukuh cerita sejarah gua tersebut.
“Kota Gelanggi ini dahulunya merupakan sebuah istana milik seorang raja yang bernama Raja Gelanggi dan baginda dikatakan mempunyai seorang anak perempuan yang cantik serta baik dan telah ditunangkan dengan seorang raja di Rembau yang bernama Raja Usul.
“Kecantikan Puteri Raja Gelanggi telah diketahui oleh seorang raja dari kayangan yang bernama Raja Mambang dan ingin memperisterikan puteri raja tersebut. Oleh kerana takut, Raja Gelanggi terpaksa menerima pinangan itu dan mengahwinkan puterinya dengan Raja Mambang.
“Tiba hari perkahwinan, Raja Usul telah sampai di Kota Gelanggi dengan tujuannya untuk menghantar hadiah kepada tunangnya namun alangkah terkejutnya bila majlis pernikahan sedang dijalankan dan peperangan telah berlaku antara angkatan Raja Usul dan Raja Mambang," ceritanya penuh bersemangat.
Menurutnya lagi, oleh kerana sama gagah dan sama sakti, tiada yang kalah atau menang maka pada ketika inilah Sang Kelembai muncul serta menegur tentang perangai dua jenis makhluk ini berperang kerana seorang perempuan.
"Akibat sumpahan itu semua yang ada di situ menjadi batu, lancangnya menjadi tanah, laut menjadi padang, sungai menjadi lembah dan segalanya musnah begitu sahaja”.
“Maka dengan ini, ujudnya Gua Kota gelanggi yang mempunyai batu-batu yang mempunyai bentuk manusia, binatang dan berbagai-bagai akibat dari teguran Sang Kelembai,".
Fokus mitos: Kapal besar jadi gua
MENGIKUT cerita turun temurun penduduk di Kampung Panching di Kuantan, kawasan daratannya dahulu sebenarnya adalah sebuah lautan yang luas terbentang.
Berdasarkan pengisahan dan cerita mitosnya, terdapat seorang pendeta yang berlayar bersama sebuah kapal yang besar bersama anak-anak kapal.
Pendeta tersebut merupakan seorang alim dan sentiasa menasihati anak-anak kapalnya supaya berkelakuan baik dan saling tolong-menolong bagi memudahkan pelayaran mereka mencari dataran untuk dijadikan petempatan.
Namun, tidak disangka salah seorang anak kapalnya telah membuat satu kesalahan besar dan menyebabkan pendeta tersebut terlalu marah dengan kelakuan yang dilakukan.
Bagi menebus kesalahan yang dilakukan anak kapal tersebut, pendeta telah berdoa agar diturunkan malapetaka sebagai balasan kesalahan yang dilakukan oleh anak kapal tersebut.
Sejurus selepas berdoa, tiba-tiba langit menjadi mendung lalu hujan lebat diikuti ribut petir sabung menyabung berlaku di kawasan tersebut. Maka anak-anak kapal berlari bertempiaran tanpa arah tuju, namun tiada siapa yang boleh menyelamatkan diri masing-masing.
Sejurus selepas hujan dan rebut petir tersebut, kapal yang dinaiki oleh mereka ini tiba-tiba bertukar menjadi batu dan seterusnya membentuk daratan di sekelilingnya.
Kapal yang bertukar menjadi batu tersebut kini masih lagi tersergam indah di kampung ini yang digelar dinamakan sebagai Gua Charas yang merupakan salah satu kawasan pelancongan di daerah ini.
Penduduk setempat tidak menolak kemungkinan bahawa gua tersebut terjadi daripada sebuah kapal kerana bentuknya yang seolah-olah sebuah kapal besar yang berlabuh di pinggir kampung.
Tempat suci
Namun, kini Gua Charas merupakan tempat suci bagi penganut agama Buddha untuk berdoa dan bersembahyang kerana dipercayai segala keinginan orang yang datang ke sini akan dimakbulkan.
Bagi Penolong Setiausaha Kuil Sithambaram berkata, Gua Charas ini mempunyai keunikan yang tersendiri dan pelancong dari datang dan luar negara tidak putus-putus datang ke sini untuk melihat keajaiban yang ada selain dapat berdoa.
“Setiap tahun pelancong dari luar negara seperti Thailand,China, Singapura dan lain-lain lagi akan bertandang ke sini untuk menyucikan diri dan berdoa mendapatkan apa yang dihajati.
“Walaupun terpaksa mendaki beratus-ratus anak tangga untuk masuk ke dalam gua, itu tidak menjadi masalah kepada penganut agama Buddha kerana mereka tahu untuk memakbulkan doa seseorang itu, pengorbanan harus dilakukan dan sejurus selepas pulang, terpancar keceriaan dan kegembiraan pengunjung di sini kerana boleh sembahyang dan berdoa dalam gua suci ini,” katanya.
Selain itu, beliau menjelaskan, gua yang terbentuk sejak beratus-ratus tahun dahulu ini mempunyai kawasan yang menarik untuk dikunjungi.
“Setelah penat mendaki anak tangga untuk masuk ke dalam gua, kita akan disegarkan dengan suasana berangin seolah-olah dalam bilik berhawa dingin di pintu masuk gua ini.
“Sampai sekarang saya juga tidak tahu mengapa di pintu gua ini sahaja kami akan menikmati suasana yang nyaman ini, kerana apabila beralih ke tempat lain, tiada lagi rasa dingin yang damai.
“Apa pun, Gua Charas ini sememangnya mempunyai misteri tersendiri yang tidak diketahui oleh kita,” katanya.
Fokus mitos: Temelian sembah berhala
Mungkin ramai yang masih belum mengetahui mengenai mitos ini, namun ia amat terkenal buat kaki-kaki pancing yang mencari ikan temelian seberat 30 hingga 50 kilogram
Menurut cerita seseorang, setiap awal tahun sekitar Januari hingga Jun, sekumpulan ikan temelian akan timbul di sepanjang sungai Pahang.
Difahamkan hidupan air terbabit berenang di sepanjang Sungai Pahang, bermula dari Jerantut melalui sungai di jambatan Felda Jengka 8 dan menuju ke sungai berdekatan Sungai Tekam.
Dikatakan, di sepanjang sungai terbabit, terdapat berhala dalam hutan yang menjadi tempat berkumpulnya ikan-ikan terbabit.
Dikatakan juga, setiap tahun, sekumpulan ikan temelian ini akan menuju ke situ untuk menyembah berhala tersebut yang berada di dalam sungai di tengah-tengah hutan dan tidak dapat dilihat manusia.
Kesempatan tersebut digunakan sebaiknya oleh penduduk setempat yang mengetahui tempat berkumpulnya ikan-ikan terbabit untuk membuat tangkapan.
Menurut kata kaki pancing Sungai Pahang, mereka akan mula memasang jaring ketika itu dan menanti ikan temelian itu tersangkut di jaring mereka.
Ketika tiba musim ini, penduduk sekitar seperti berpesta di mana mereka akan turun beramai-ramai ke sungai untuk mendapatkan ikan ini.
Seekor ikan temelian boleh mencecah sehingga lebih 40 kilogram dan sebesar seorang kanak-kanak yang berusia sekitar 12 tahun.
Sekadar cerita dongeng
Sinar Harian turut membuat tinjauan orang ramai berkaitan cerita mitos ini, namun rata-ratanya tidak mengetahuinya.
Bagi Mohd Nasir Zainal, 58, atau lebih gemar dikenali sebagai Pak Itam, berkumpulnya ikan-ikan temelian terbabit bukanlah hendak menyembah berhala seperti yang didongengkan, sebaliknya, ia berkumpul untuk membiak.
“Setiap awal tahun, ikan temelian ini akan mencari kawasan cetek untuk membiakkan telurnya.
“Ia juga dikenali sebagai musim ikan berlaga oleh penduduk sekitar kerana ikan ini akan berlaga sesama mereka untuk memecahkan telur,” katanya kepada Sinar Harian.
Tambahnya lagi, ikan temelian ini kebiasaannya akan berkumpul di kawasan-kawasan pulau dan berpasir serta di kuala-kuala sungai.
“Di kawasan-kawasan ini, kita akan dapat lihat ikan-ikan ini timbul dan berlaga sesama mereka melalui percikan-percikan air di sungai.
“Pada ketika itu juga, ikan-ikan ini amat mudah diperolehi, malah kebesarannya adalah di luar jangkauan kerana mencecah berpuluh-puluh kilogram,” katanya yang pernah menangkap ikan temelian seberat 42 kilogram.
Menurutnya lagi, ikan temelian ini suatu ketika dahulu tidaklah semahal harga sekarang, malah orang dahulu tidak gemar memakannya kerana saiznya yang besar.
“Suatu ketika dahulu ia dijual pada harga RM5 sekilogram dan tidak mendatangkan apa-apa keuntungan. Kini saya mendapat tahu, ikan temelian ini dijual pada harga RM25 sekilogram,” katanya.
Menurutnya lagi, menangkap ikan temelian ketika tiba musimnya mengawan dan bertelur adalah suatu kenangan indah buatnya bersama arwah ayahnya.
Fokus mitos: Gua menyerupai sampan, tangga
TAMAN Rimba Kenong merangkumi kawasan seluas 121 kilometer persegi di Lembah Kenong yang terletak di barat daya Taman Negara Pahang.
Taman ini memiliki beberapa gua batu kapur yang menakjubkan, ditambah bunyi nyanyian burung dan deruan air terjun memecahkan suasana tenang dan sunyi.
Seorang penduduk tempatan yang mahu dikenali sebagai Pak Tam, 70, berkata, terdapat lebih 20 gua di kawasan itu termasuk lapan yang dikenal pasti dan diterokai, antaranya Gua Batu Tinggi, Gua Batu Tangga, Gua Kesong, Gua Hijau, Gua Buta dan Gua Harimau.
Menurutnya, setiap gua batu kapur di sini terletak sejauh setengah jam perjalanan merentas hutan.
“Daripada lapan gua itu, yang paling menarik ialah Gua Batu Tinggi kerana dikatakan menyerupai sebuah sampan tebuk sambil Sungai Kenong mengalir deras melewati gua itu.
“Menurut cerita dongeng masyarakat tempatan, gua ini terbentuk ketika sebuah sampan yang membawa utusan raja dari Pekan berubah menjadi batu,” katanya.
Pak Tam berkata, Gua Batu Tinggi terletak antara 122 hingga 152 meter dari permukaan laut dan keunikannya terletak pada pembentukan batu-batan yang menyerupai tangga sejarah purba.
“Menariknya, pelbagai jenis tumbuhan liar termasuk jenis bunga anggerik, pohon ara dan epifit menghiasi dan menambah keunikan gua itu," katanya.
Di samping dapat menyaksikan keajaiban sejarah purba, Pak Tam berkata, Gua Batu Tinggi juga menjanjikan pemandangan dan pengalaman berbeza apabila pengunjung dapat melihat kehadiran pelanduk, landak mahupun gajah.
Difahamkan gua-gua itu menjangkau usia yang terlalu lama kerana mengikut kajian ahli kaji bumi dan ahli kaji purba dari kesan-kesan peninggalan purba, sudah wujud kehidupan sejak berabad lalu yakni sejak Zaman Batu.
Pak Tam berkata, bagi pencinta alam yang gemar menjejaki keunikan gua-gua berusia ratusan tahun, Taman Rimba Kenong adalah pilihan tepat untuk disisipkan dalam agenda percutian.
"Hanya tiga jam hendak sampai ke taman ini dari Kuala Lumpur, ia juga boleh dihubung melalui pengangkutan kereta api. Mereka perlu berhenti di bandar Kuala Lipis sebelum mengambil tren ke stesen di Batu 9.
“Dari situ, mereka boleh berjalan kaki selama lima minit ke jeti di Sungai Jelai dan kemudian menaiki bot selama 20 minit menuju Jeti Tanjung Kiara di Sungai Kesong. Pengembaraan ke rimba itu bermula dari jeti ini,” katanya.
Pak Tam berkata, pelancong juga boleh mengambil bot dari Jeti Kuala Lipis untuk ke Tanjung Kiara atau menaiki pacuan empat roda melalui jalan ke Felda Kechau Sembilan sebelum merentas Kampong Matok.
“Terdapat penginapan dalam bentuk resort, chalet, bilik ala asrama serta tapak perkhemahan di Taman Negara.
“Pelancong yang pernah menjejakkan kaki di taman rimba itu bukan sahaja terdiri daripada pencinta alam tempatan, bahkan dari luar negara seperti Perancis dan Britain.” katanya.
Menurutnya, pengunjung juga pastinya seronok berkelah di air terjun tujuh tingkat Lata Kenong serta jeram di Sungai Kenong.