Penduduk kampung Sahecun di wilayah selatan China, menderita penyakit misteri akibat minum dan menggunakan air yang tercemar dengan bijih besi.
Perkampungan itu berdekatan dengan lombong bijih besi dan selama lebih 10 tahun penduduk kampung itu menggunakan air yang tercemar.
Salah seorang penduduk kampung itu, Huang Guiqiang, 58, berkata, bonjolan yang terdapat pada badannya amat menyakitkan sehingga mengganggu aktiviti sehariannya.
Bukan Huang Guiqiang sahaja yang mengalami penyakit misteri ini, malah adik beradiknya juga mengalami nasib yang sama. Salah seorang adik beradiknya telah meninggal dunia beberapa tahun lepas akibat penyakit ini. Abangnya, Huang Fuqiang, 61, berkata dia mula mengalami sakit ini beberapa tahun dan kesihatan badannya turut menurun dan mengakibatkannya terpaksa berhenti kerja.
Penduduk di perkampungan ini terpaksa menggunakan sumber air yang tercemar ekoran tiada sumber air bersih yang ada. Mereka terpaksa menanam padi, menternak ikan menggunakan sumber air yang tercemar dan mereka juga tahu akibat dari menggunakan air ini.