Bangsa Turki pernah bangkit sebagai kuasa besar pada abad ke-15,
sehingga kejatuhan empayarnya sekitar abad ke-19. Pengaruhnya
menjangkaui sehingga ke Eropah apabila beberapa wilayah di bawah
naugannya berada di timur Eropah.
Bangsa Turki yang menerajui empayar Othmaniyyah disanjung umat Islam
kerana empayar Turki Othmaniyyah mempunyai satu-satunya pemimpin yang
diramalkan oleh Rasulullah saw dalam hadis kursinya. Pemimpin yang
dimaksudkan adalah Muhammad atau lebih dikenali sebagai Sultan Muhammad
al-Fatih. Gelaran al-Fatih yang membawa maksud ‘Si Pembuka’ merujuk
kepada peranan besarnya membuka dan menakluk kota Konstatinopel.
Penaklukan kota Konstatinopel sekitar kurun ke-15 itu adalah
sumbangan Sultan Muhammad al-Fatih yang tiada tolak bandingnya. Sehingga
ke hari ini kota tersebut masih lagi di bawah genggaman umat Islam yang
berada di bawah naugan kerajaan Turki sekarang. Detik bersejarah itu
yang berlaku pada 1453 masihi menandakan berakhirnya kerajaan Kristian
Byzantine Timur yang berpusat di kota Konstatinopel.
Siapa bangsa Turki sebenarnya?
Bangsa Turki disifatkan oleh pakar-pakar Sirah Islam sebagai bangsa
yang berasal daripada anak nabi Nuh as, Yafit. Diriwayatkan, Nabi Nuh as
mempunyai tiga oleh anak lelaki iaitu Sam, Yafit dan Ham.
Sam menurunkan ras bangsa Semitik yang berkulit keputihan seperti
Arab, Parsi, Syria, Yunani, Latin (Sepanyol) dan di sebelah Barat dunia.
Daripada anak-pinak Sam lahir ramai Rasul dan Nabi. Dikisahkan bahawa
pada zaman Nabi Isa as, berkat mukjizat baginda, Sam telah dibangkitkan
daripada kuburnya dan sempat menceritakan perit sakitnya kematian.
Ham menurunkan ras bangsa berkulit hitam seperti bangsa yang
kebanyakan mendiami benua Afrika. Di dalam kitab Perjanjian Lama (Old
Tastement), Ham telah dilaknat oleh Nabi Nuh as dan kisah tersebut
dikenali sebagai Ham’s Curse. Laknat Nabi Nuh as yang kononnya
diberitakan dalam kitab Perjanjian Lama tersebut antara lain melaknat
keturunan Ham dan anak pinaknya bakal menjadi hamba kepada anak pinak
Sam dan Yafit.
Yafit pula menurunkan ras bangsa berkulit kulit langsat seperti Cina,
Mongoloid, Russia dan beberapa bangsa di sebelah Timur dunia.
Anak-pinak Yafit mempunyai sifat dan semangat suka berperang yang
tinggi. Kebanyakan yang lahir daripada suku Yafit adalah penakluk hebat.
Lihat saja bangsa Cina, Mongol dan juga Russia.
Daripada genetik Yafit lahirnya bangsa Turki. Turki sepertimana
bangsa-bangsa suku Yafit yang lain suka berperang dan menakluk. Daripada
Yafit juga lahir bangsa yang cukup terkenal kejamnya dan diramalkan
oleh Rasulullah saw dalam banyak hadis kursinya. Bangsa tersebut tidak
lain dan tidak bukan adalah bangsa Ya’juk dan Ma’juk.
Ya’juk dan Ma’juk mempunyai beberapa gelaran lain. Bangsa Cina
menggelar mereka Xiongnu, Yunani pula menggelar mereka sebagai Sos dan
bangsa Barat menggelar mereka sebagai bangsa Sychtia atau Simmeria.
Dalam tradisi masyarakat Kristian juga mengenali bangsa Ya’juk dan
Ma’juk sebagai Gog dan Magog.
Kaitan Ya’juk dan Ma’juk dan Turki
Antara kedua-dua bangsa iaitu Ya’juk dan Ma’juk dan bangsa Turki,
terdapat cerita yang berkait. Umumnya, bangsa Ya’juk dan Ma’juk adalah
bangsa yang ganas dan suka membuat kerosakan. Mereka muncul membawa
kerosakan pada dunia. Allah swt berfirman di dalam al-Quran dalam surah
al-Kahfi;
Mereka berkata: “Hai Zulkarnain, sesungguhnya Ya’juj dan Ma’juj
itu orang-orang yang membuat kerosakan di muka bumi, maka dapatkah kami
memberikan sesuatu pembayaran kepadamu, supaya kamu membuat dinding
antara kami dan mereka?”
Mereka menguasai dunia, bahkan tiada apa yang mampu mengalah dan
menumpaskan mereka. Rasulullah saw bersabda bahawa ketika mana Ya’juk
dan Ma’juk bermaharajalela di muka bumi, Allah swt mematikan mereka
dengan mengirimkan satu wabak di mana ulat-ulat memakan belakang badan
mereka.
Diriwayatkan bahawa ketika ekspedisi Zulkarnain yang memerangi kaum
Ya’juk dan Ma’juk di tempat yang disifatkan Allah sebagai ‘di antara dua
buah gunung’ dalam surah al-Kahfi ayat 93, kaum itu terperangkap di
antara gunung. Lalu dengan bantuan masyarakat tempatan, Zulkarnain dan
bala tenteranya mengurung Ya’juk dan Ma’juk dengan tembok besi bersadur
tembaga. Ya’juk dan Ma’juk tidak akan berjaya menembusi tembok tersebut
dan kekal terkurung di dalamnya sehingga tiba masa yang ditetapkan oleh
Allah swt.
Ekspedisi tersebut berjaya namun, ketika pertempuran tersebut
terdapat saki-baki daripada mereka yang berjaya ‘melepaskan diri’.
Bangsa tersebut adalah bangsa Turki. Istilah Turki adalah berasal
daripada perkataan ‘Taraka’ atau ‘Turika’ yang membawa maksud
‘meninggalkan’ atau ‘ditinggalkan’. Boleh jadi, asal asbab istilah Turki
yang dinisbatkan kepada bangsa Turki adalah kerana kisah saki baki
bangsa Ya’juk dan Ma’juk yang berjaya berlepas diri.
Dalam satu kajian lain, antara suku yang berjaya melarikan diri
daripada serangan bertali arus tentera Zulkarnain adalah suku Mongol
yang mana kemudiannya mendiami Gurun Gobi dan Steppe di Mongolia. Mongol
sepertimana ‘moyangnya’ dilahirkan sebagai bangsa yang ganas. Perang
tiada etika sehingga memusnahkan beberapa tamadun agung di dunia. Antara
yang menjadi mangsa kerakusan suku Mongol adalah Dinasti Abbasiyyah.
Baghdad yang dilanggar oleh suku Mongol telah hancur luluh dan rebah
menyembah bumi. Kejatuhan Baghdad di tangan Mongol menyebabkan kota
tersebut hilang fungsi sebagai pusat tamadun dan perabadan dunia.
Sehingga kini kota tersebut gagal bangkit seperti yang berlaku pada
zaman keemasannya.
Rasulullah saw menyedari potensi Turki
Dalam satu hadis, Rasulullah saw bersabda;
‘Tinggalkan Turki selama mana mereka tinggalkan kalian’
Hadis ini memberi gambaran bahawa Turki patut diberi keistimewaan
berbanding lain-lain bangsa kerana bangsa ini seakan-akan diberi
gambaran bahawa ia dielakkan untuk diperangi bahkan memberi mereka ruang
untuk melepas diri.
Dakwah Islam ke atas lain-lain bangsa bermula seawal zaman Rasulullah
saw di mana Rasulullah saw mula mengirimkan risalah dakwah kepada
beberapa Raja di negara jiran baginda. Antara yang mendapat risalah
tersebut adalah Hercules daripada Byzantine dan Kisra Khusraw daripada
Parsi Sasanid. Hercules miskipun diriwayatkan tidak menerima Islam
tetapi melayan duta Rasulullah saw dengan baik. Namun, berlainan dengan
reaksi Kisra apabila mengoyak risalah Rasulullah saw sehingga menguris
hati baginda Nabi saw.
Apabila Rasulullah saw wafat dan diganti dengan sistem khalifah,
dakwah rancak berjalan. Beberapa wilayah dan tamadun besar berjaya
ditawan. Antaranya adalah Mesir oleh Amr bin As. Syria dan Parsi pula
oleh Saad bin Abi Waqqas, Khalid al-Walid dan Ubaidah ibn Jarrah.
Namun, bangsa Turki tetap diberi kelonggaran dan antara yang pertama
menjalinkan hubungan dengan Turki adalah Saidina Uthman bin Affan.
Saidina Uthman menyeru mereka kepada Islam dan berpusu-pusu mereka
memeluk Islam. Berkat keislaman mereka di zaman khulafa ar-Rashidin dan
para tabiin, mereka menjadi muslim yang berpegang kuat kepada ajaran
Islam.
Bangsa Turki pada masa itu kebanyakan mereka berasal dari kawasan
pergunungan Turkistan dan dataran Steppe. Menjelang abad ke-8 Masihi,
mereka berhijrah ke arah Barat melalui dataran tinggi Serbia menuju ke
laut Arab dan sebahagiannya pula ke wilayah Russia.
Ketika Mongol berkuasa dan menjajah banyak tempat di Asia Tengah,
beribu-ribu bangsa Turki sekali lagi mengalami pengasingan apabila
mereka terpaksa berhijrah ke negeri-negeri jiran mereka. Semasa
pemerintahan Dinasti Abbasiyyah, bangsa Turki sangat taat kepada
penguasa di Turkistan. Mereka mendapat layanan yang baik daripada
pemerintah Dinasti Abbasiyyah terutama semasa pemerintahan Al-Mustashim.
Kerana Al-Mustashim berfahaman Muktazillah dan banyak menzalimi ulama
ahli Sunnah, maka banyak berlaku pemberontakan. Oleh itu, Al-Mustashim
mengalihkan pusat pemerintahan ke Samarra.Di s ana, Al-Mustashim lebih
menggemari pegawai berbangsa Turki berbanding Arab kerana curiga dengan
kesetiaan bangsa Arab iaitu bangsanya sendiri kepadanya. Bermula detik
itu, bangsa Turki mula mendapat kekuatan terutama daripada segi politik.
Banyak pegawai dan panglima Turki berperang di sempadan Byzantine
bagi menjaga wilayah Abbasiyyah. Lama-kelamaan, bangsa Turki membentuk
kekuasaan di sempadan yang pada mulanya taat setia kepada Dinasti
Abbasiyyah. Apabila Dinasti Abbasiyyah runtuh, mereka muncul membentuk
komuniti yang berpaksikan militari di sempadan.
Maka disitulah bermulanya era Bani Saljuk yang mana pemerintah
pertamanya adalah Sultan Arp Arslan. Mereka memiliki semangat jihad yang
tinggi, bervisi jauh dan ingin melihat Islam tertegak di merata
ceruk. Mereka bangga menggelar mereka ‘Ghazi’ yang membawa maksud ‘orang
yang suka berperang’. Sememangnya mereka gemar berperang atas dasar
jihad dan tidak sesekali gentar apabila dengan berhadapan musuh.
Di sisi yang lain, lahir pula sebuah Dinasti yang lebih agung yang
berbangsa Turki. Ia adalah dinasti Othmaniyyah yang diasaskan sekitar
abad ke-13. Dinasti ini bermula daripada seorang lelaki yang bernama
Ertugrul. Ertugrul dikatakan berhijrah daripada tanah airnya ke Asia
Minor bersama-sama 400 tentera berkudanya. Di sana, beliau bergabung
dengan Kesultanan Saljuk untuk memerangi empayar Rom Byzantine.
Gabungan kedua-dua tentera Islam tersebut membuahkan hasil dan
mencapai kemenangan. Atas jasa Ertugrul, sebuah wilayah di Eskisehir
dihadiahkan kepada beliau. Kemudian, anak kepada Ertugrul iaitu Osman I
yang bercita-cita tinggi mendirikan sebuah empayar yang dikenali sebagai
Dinasti Othmaniyyah. Empayar Othmaniyyah menenggelamkan beberapa
empayar Islam yang lain sehingga pada satu peringkat empayar ini
mencapai keluasan yang mencecah ke sempadan Eropah. Beberapa sultan dan
panglima agung bangkit daripada empayar bangsa Turki ini.
Sultan Muhammad al-Fatih yang mendapat sanjungan daripada Rasulullah
saw kerana berjaya membuka kota Konstatinopel lahir di dalam kelompak
Bani Othmaniyyah. Inilah bangsa yang dikatakan serpihan Ya’juk dan
Ma’juk daripada sulur galur Yafit.