Friday, 26 April 2013

Hubungan China Dan Melayu Dari Sudut Sejarah


Manuskrip Dinasti Sui: tetapi tiada kaitan dengan artikel ini

Pagi tadi sembang dengan seorang peniaga Cina tentang senario politik semasa tanahair. Beliau berpendapat ramai golongan Cina kini telah beralih arah menyokong pembangkang. Banyak sebab yang diberikan oleh beliau kenapa golongan Cina tidak lagi memberikan sokongan padu kepada kerajaan.

Antara sebab yang menarik perhatian ialah, buta sejarah. Menurutnya, pada awal permulaan hubungan Cina dengan orang Melayu ialah perniagaan. Ramai orang Cina menjadi kaya raya disebabkan berniaga di Malaysia, kerana katanya di China peluang tersebut sukar dicapai kerana banyak sebab atas dasar pemerintah negara tersebut.

Orang Cina pada zaman penjajahan Inggeris telah tiba ke Tanah Melayu sebagai buruh dalam pelbagai bidang. Di zaman pemberontakan Parti Komunis Malaya (PKM) pula, golongan Cina telah dipandang serong dan sentiasa disyaki sebagai penyokong gerakan tersebut.

Setelah Inggeris menyerahkan kemerdekaan Malaysia, nasib orang Cina lebih baik berbanding sebelumnya. Mereka bebas berniaga dan mempunyai hubungan baik dengan orang Melayu. Tetapi hubungan baik ini telah cuba dirosakkan oleh pihak-pihak tertentu, termasuk dari kalangan bangsa Cina sendiri.

Golongan Cina yang lebih awal datang ke Tanah Melayu sebelum kedatangan Inggeris, sangatlah menghargai hubungan Cina-Melayu ini. Ini kerana menurutnya, tanpa sokongan Melayu, bangsa Cina sukar untuk meneruskan hidup apatah lagi untuk mengusahakan perniagaan.

Manakala golongan yang tiba semasa dan selepas penjajahan Inggeris inilah yang buta sejarah. Mereka juga cepat menerima hasutan, baik dari dalam mahu pun dari pihak luar. Golongan inilah yang membuat berbagai dakwaan yang menyebabkan orang Melayu terasa mual dengan sikap mereka.

Menurut lelaki Cina terbabit, sejarah lampau sebelum kewujudan zaman Kesultanan Melayu Melaka lagi, telah wujud hubungan Cina dan negeri-negeri Melayu. Beliau menganggarkan hubungan ini telah bermula semenjak 3,000 tahun dahulu.

Persoalannya, apakah yang menjadi teras hubungan Cina-Melayu ini semenjak 3,000 tahun dahulu? Sedangkan banyak gambaran sejarah yang diberikan menggambar bahawa ,kerajaan Melayu purba berada di bawah naungan Maharaja Cina? Begitu juga, semasa Melaka diserang oleh Portugis, Maharaja Cina tidak pun pernah menghulurkan bantuan untuk menghalang penaklukan tersebut.

Satu intpati yang diperolehi ialah bahawa hubungan itu adalah disebabkan pertukaran teknologi. Sebagai contoh menurutnya, China memang terkenal dengan penghasilan bahan letupan dan peluru. Sedangkan orang Melayu pula mahir dalam pembuatan meriam dan bedil. Begitu juga dalam pembuatan kapal, orang Melayu mahir dalam pembuatan kapal. Dalam hal ini orang Cina sering mengkaji dalam meningkatkan kualiti penghasilan kapal mereka yang digunakan untuk berdagang dan perang.

Satu hal yang sangat relevan semenjak ribuan tahun dahulu ialah, urusan perniagaan. Orang Melayu adalah golongan peniaga maritim serta mempunyai pelabuhan bertaraf antarabangsa pada zaman itu. Produk pasaran orang Melayu ialah hasil logam, lilin damar, hasil tanaman serta binatang liar. China pula adalah pengeluar produk kain, kertas, tembikar serta barangan lain lagi. Dari segi geografi pula, laluan Selat Melaka adalah paling mustahak yang perlu direntasi oleh pedangang China. Dalam hal inilah pentingnya hubungan diplomatik antara China-Melayu dalam menjaga kepentingan dagangan mereka.

Selain itu, faktor keselamatan pelayar Cina yang melalui perairan Melayu. Dengan adanya hubungan politik yang baik, maka semua kapal dagang Cina yang melalui perairan Melayu akan mendapat perlindungan kerajaan Melayu.

Jadi secara ringkas, menurut lelaki Cina tersebut, hubungan Cina dan Melayu adalah atas dasar hubungan perniagaan semenjak ribuan tahun sebelum zaman Kesultanan Melayu Melaka lagi. Perkara inilah tidak disedari oleh genersai baru Cina bahawa hubungan perniagaan ini tetap wujud dan terjaga dengan dasar tolak ansur orang Melayu sehinggalah selepas zaman kemerdekaan.

Berhubung dengan sokongan Cina terhadap kerajaan pula, ianya semakin merosot disebabkan orang Cina juga mempunyai perasaan seperti bangsa Melayu dalam hak perniagaan dan bernegara. Kerajaan banyak mengambil kesempatan terhadap golongan Cina demi kepentingan politik sendiri serta mengabaikan peranan sebenar Cina dalam sama-sama memajukan negara. Keadaan inilah pihak yang buta sejarah mengambil kesempatan untuk menangguk di air keruh dan mengambil peluang atas kebebasan politik untuk mengambil tindakan yang merugikan negara ….

Kita tinggalkan dahulu hujah politik lelaki Cina terbabit. Cubalah kita sorotkan hubungan China dan Tanah Melayu dari sudut sejarah, yang dalam dakwaan lelaki Cina berkenaan, bahawa hubungan orang Cina dan orang Melayu telah bermula semenjak ribuan tahun dahulu dan cara saling menjaga kepentingan perdagangan antara satu sama lain
Disqus Comments