Wednesday 21 May 2014

Pelajar wanita Malaysia diperkosa di Bandung



Seorang pelajar Malaysia yang menuntut Universiti Padjajaran di Indonesia yang merupakan mangsa rogol berkumpulan Sabtu lalu, dijangka pulang untuk mendapatkan rawatan lanjut. Ketika kejadian pelajar tersebut dilaporkan meninggalkan rumah sewanya di Bandung, yang terletak tidak jauh daripada kampusnya di Jatinagor, untuk mengeluarkan duit apabila tiba-tiba seorang lelaki menekup mulut dan menariknya ke dalam kereta. 

Mangsa ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri di kawasan tempat letak kereta yang terletak kira-kira 40 kilometer dia diculik. Menurut laporan itu, pelajar berkenaan berada dalam keadaan trauma dan kini dirawat di Hospital Hasan Sadikin di Bandung.

Ketua Polis Cimachi, Erwin Kurniawan berkata empat lelaki telah menculiknya, tiga daripada mereka telah merogolnya secara bergilir-gilir, "Hanya pemandu kereta tersebut tidak merogolnya," katanya.

Kedutaan Besar Malaysia di Indonesia terus memantau perkembangan siasatan kejadian ini. Pejabat Kedutaan Besar di sini turut bekerjasama dengan pihak pengurusan universiti tersebut serta pihak polis bagi memastikan jaminan keadilan diperoleh pelajar Malaysia itu. Sebaik sahaja menerima laporan kes yang melibatkan pelajar tersebut Sabtu lalu, para pegawai Kedutaan Besar Malaysia bergegas ke Bandung untuk mendapatkan laporan daripada pihak berkuasa serta membantu pelajar terbabit dan keluarganya yang datang dari Malaysia.

Pada masa sama, satu pertemuan antara Duta Besar Malaysia, Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim dengan pihak pengurusan Unpad sedang diatur dalam waktu terdekat bagi mendapatkan jaminan mengenai keselamatan pelajar-pelajar Malaysia yang sedang menuntut di universiti itu.

“Pertemuan itu kelak bagi memastikan keselamatan pelajar-pelajar Malaysia yang lain terjamin. Kita mahu pihak universiti memberi perhatian kepada aspek keselamatan kerana lebih 700 pelajar Malaysia sedang mengikut pengajian di universiti itu pada masa ini," kata pejabat Kedutaan Besar Malaysia dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini hari ini. 

Sementara itu, polis daerah Jawa Barat akan mengadakan siasatan terperinci kes yang melibatkan pelajar Malaysia itu. Ketua Polis Jawa Barat, Mochamad Iriawan yang kesal dengan kejadian tidak bertanggungjawab itu menegaskan, pihaknya akan terus menjejaki suspek terbabit. Menurut beliau, kejadian yang menimpa pelajar Malaysia itu merupakan tindakan yang melampau dan tidak berperikemanusiaan apa lagi yang menjadi mangsa merupakan warganegara asing yang sedang menuntut ilmu di daerah berkenaan. 

"Ini keterlaluan. Memalukan nama Jawa Barat. Kalau kejadian ini (jenayah) terus berlaku mahasiswa (asing) tidak mahu ke sini lagi," tegas Mochamad kepada wartawan di Bandung hari ini.

Disqus Comments