Wednesday 21 May 2014

Peraturan Pemasangan Cermin Gelap Kenderaan Dipinda


Operasi Kenderaan Cermin Gelap Dan Plat Bermula 16 Jun 2014 Denda Maksimum RM300  | Kuala Lumpur: Dipetik dari BH online, Pemilik kenderaan yang menggunakan cermin gelap dan nombor pendaftaran tidak mengikut spesifikasi perlu menukar kepada yang mematuhi peraturan selewat-lewatnya 15 Jun ini. 

Polis akan melancarkan operasi pemeriksaan besar-besaran bermula 16 Jun yang mana denda maksimum RM300 akan dikenakan terhadap pemandu yang melakukan kesalahan itu. 


Ketua Trafik Pasukan Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Mohd Fuad Abd Latiff, berkata penggunaan nombor pendaftaran yang tidak mengikut spesifikasi serta cermin yang terlalu gelap menyukarkan polis untuk mengecam penjenayah. 


Terkini : 21 Mei 2014

PERATURAN CERMIN GELAP DIPINDA

Pindaan diputuskan dalam bengkel khas babit semua agensi

Kuala Lumpur: Kementerian Pengangkutan semalam memutuskan untuk meminda peraturan penggunaan cermin gelap ke atas kenderaan di negara ini. 

Bagaimanapun, perincian mengenai pindaan itu akan diputuskan dalam bengkel khas membabitkan semua pihak berkepentingan, termasuk pelbagai agensi dan badan bukan kerajaan (NGO), minggu depan. 
 

Antara agensi yang akan menyertai bengkel itu ialah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR), penasihat undang-undang kementerian dan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (SUHAKAM).
Berikut panduan pemasangan cermin gelap yang dibenarkan menurut Portal Rasmi JPJ (sebelum Pindaan):
Kaedah 5 (1) dan Kaedah 5 (3),Kaedah-Kaedah Kenderaan Motor (Larangan Mengenai Jenis-Jenis Kaca Tertentu) Pindaan 2000, menetapkan cermin cermin depan hendaklah telus cahaya tidak kurang 70%, manakala cermin belakang dan tepi hendaklah telus cahaya tidak kurang dari 50%.
Pengecualian khas pemasangan cermin gelap
Pemasangan kaca gelap diberikan kepada orang-orang tertentu sahaja seperti di bawah kaedah 11(a) dan 11(b),Kaedah-Kaedah Kenderaan Motor (Larangan Mengenai Jenis-Jenis Kaca Tertentu) 1991. Mana-mana orang yang tidak termasuk dalam kaedah 11(a) dan 11(b) yang menghadapi masalah kesihatan kulit terdedah atau dengan ancaman keselamatan boleh memohon pengecualian khas untuk pemasangan khas untuk pemasangan cermin gelap.
Pemilik atau pemandu kenderaan yang tidak mematuhi kaedah ini akan dikenakan denda:
  1. Tidak melebihi RM 500.00 atau penjara tidak melebihi 2 minggu untuk kesalahan pertama;dan
  2. Tidak melebihi RM 1000.00 atau penjara tidak melebihi satu bulan atau kedua-duanya sekali bagi kesalahan berikutnya.
Cara-cara memohon
Pemohon perlu membuat permohonan secara bertulis kepada Pengarah Penguatkuasa JPJ Malaysia dan  hendaklah mengisi  Borang CG1 yang boleh didapati daripada mana-mana JPJ Negeri secara percuma. Semua permohonan perlu disertakan dengan dokumen-dokumen berikut :-
  1. Salinan kad pengenalan dan kad Pendaftaran Kenderaan  yang telah disahkan.
  2. Surat pengesahan daripada Pakar Perubatan Kerajaan termasuk rekod-rekod Perubatan yang terkini.
  3. Bagi permohonan untuk tujuan keselamatan sertakan dokumen sokongan daripada Ketua Polis Negeri.


Kelulusan
Semua permohonan akan diproses dan dikemukakan kepada Ketua Pengarah Pengangkutan Jalan untuk kelulusan.
Tempoh
Tempoh kelulusan penggunaan cermin gelap adalah satu tahun sahaja dan perlu diperbaharui.
Pembaharuan
Permohonan memperbaharui kelulusan cermin gelap hendaklah dibuat tiga (3) bulan sebelum tamat tempoh kelulusan dengan menyertakan dokumen berikut:
  1. Borang CG1 yang telah diisi dengan lengkap.
  2. Salinan kad pengenalan dan Kad Pendaftaran  yang telah disahkan.
  3. Surat pengesahan daripada Pakar Perubatan Kerajaan serta rekod-rekod Perubatan yang terkini (bagi tujuan kesihatan).
  4. Surat sokongan daripada Ketua Polis Negeri (bagi tujuan keselamatan).
  5. Salinan Sijil Kelulusan Cermin Gelap.
SUMBER JPJ
Disqus Comments